KLUANG – Seorang wanita kerugian RM700 selepas keretanya dipecah masuk di kawasan tanah perkuburan Cina, Sri Lalang di sini pada 28 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 9.15 pagi ketika mangsa, Angle Chang, 24, yang merupakan seorang pelajar melawat kubur datuknya.
“Pada pukul 8 pagi mangsa sampai di tanah perkuburan itu lalu meletakkan kereta jenis Perodua Aruz warna hitam di situ dengan keadaan baik.
“Jarak di antara tempat letak kereta dengan kubur yang dilawati lebih kurang 200 meter.
“Kemudian pada pukul 9.15 pagi selesai lawati kubur datuknya, dia pergi semula ke kereta dan mendapati cermin sebelah pemandu pecah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa mendapati beg tangan yang diletakkan diatas kerusi pemandu telah tiada.
Menurutnya, mangsa kehilangan satu beg tangan, kad pengenalan, passport, lesen memandu, kad bank, wang tunai RM100 dan cermin pintu pecah.
Katanya, suspek masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















