Polis menahan lapan lelaki Indonesia yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran di perairan Laut Kukup, Pontian semalam dan kelmarin.

PONTIAN – Polis menahan lapan lelaki warganegara Indonesia terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran menerusi serbuan di perairan Laut Kukup di sini semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, serbuan menerusi Op Pintas Bersepadu/Op Taring Landai itu dilakukan pukul 8 malam kelmarin dan 6 petang semalam.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga rumah penampungan, seorang tekong laut dan tiga migran, kelmarin.

“Sementara tiga lelaki terdiri daripada seorang tekong darat, seorang tekong laut dan seorang pembantu penjaga rumah penampungan ditahan semalam. Semua tangkapan berusia 21 hingga 36 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, risikan dijalankan selama dua minggu selain memfokuskan kawasan berpotensi menjalankan kegiatan membawa keluar masuk migran termasuk di rumah sangkar ikan.

Beliau memberitahu, pihaknya turut merampas dua buah bot dan tiga telefon bimbit dengan nilai rampasan RM50,000.

“Saringan ujian air kencing mendapati, lima lelaki positif Methamphetamine,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012, Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1957, Seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast