Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Datuk Fahmi Fadzil hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Wilayah Persekutuan ketika di Komune Living & Wellness, Bandar Tun Razak. Foto MOHD ADZLAN, 03 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas bahawa tiada sesiapa termasuk menteri, akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dan tindakan pendakwaan akan diambil jika terbukti berlaku pelanggaran sambil mengingatkan agar imej parti tidak tercalar dengan tindakan mengambil kesempatan atas kedudukan.

Fahmi berkata, semua pihak diingatkan supaya tidak menyalahgunakan amanah yang diberikan termasuk bertindak sewenang-wenangnya seperti memeriksa lesen tanpa sebab munasabah.

“Peringatan itu penting bagi memastikan integriti dalam kalangan pemimpin sentiasa terpelihara.

“Beliau turut mengimbas usaha sebelum ini untuk membanteras penyalahgunaan kuasa dan mengingatkan agar perkara sama tidak berulang dalam kalangan anggota parti ketika ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan pemimpin parti supaya tidak lupa asal-usul serta tidak terlalu selesa dengan kemewahan selepas memegang jawatan.

Katanya, perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif.

Beliau turut berkongsi bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau tidak pernah membeli kereta atau rumah baharu malah kenderaan yang digunakan kini hanyalah pinjaman.

Katanya, kereta miliknya sendiri hanya selesai dibayar selepas tujuh tahun.

“Kalau beli kereta baharu dan boleh dijelaskan, tidak mengapa tetapi, jangan sampai ada yang tiba-tiba ubah suai itu ini, memiliki rumah di sana sini tanpa penjelasan,” katanya.

Tambahnya, walaupun telah berkhidmat selama dua penggal, beliau sendiri masih belum mampu memiliki rumah di Bangsar.

Sehubungan itu, Fahmi menyeru semua pihak agar saling menegur secara berhemah melalui saluran yang betul sambil mengingatkan bahawa kesabaran Perdana Menteri ada batasnya meskipun disifatkan sebagai seorang yang sangat sabar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast