Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, serta kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, peletakan jawatan tersebut dibuat atas pertimbangan peribadi dan bukan disebabkan sebarang masalah dalam UMNO Sabah.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk hala tuju politik dan peranan saya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan portal berita tempatan.

Bagaimanapun, difahamkan Abdul Rahman masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sementara itu, memetik laporan FMT, Rahman yang juga bekas menteri berkata, situasi semasa politik UMNO Sabah memerlukan pemimpin ‘berdarah muda’ untuk memastikan kelangsungannya.

Mengulas masa depan politiknya, Abdul Rahman berkata, setakat ini beliau masih kekal dengan UMNO, namun mengakui ada tawaran daripada parti lain.

Tangkap layar laman sosial Facebook Abdul Rahman Dahlan.

Sementara itu, menerusi laman Facebooknya malam ini, Abdul Rahman berkata, beliau percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu buatnya kini telah sampai ke penghujung.

Menurutnya, beliau telah diberi peluang dan kehormatan untuk berkhidmat, menyumbang, belajar dan memimpin.

“Namun, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi juga tentang mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah, hati yang tenang, rasa syukur yang mendalam, serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast