KULAI – Polis semalam menahan seorang lelaki kerana memandu melulu, membuat ugutan dan perbuatan khianat serta memukul seorang penunggang motosikal di kawasan bulatan Lebuh Putra Utama, Bandar Putra di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan suspek di rumahnya di Senai pukul 11.30 malam.
Beliau memberitahu, sebelum itu pihaknya mengesan satu hantaran tular seorang lelaki dipukul seorang individu menggunakan tangan sebelum IPD Kulai turut menerima laporan kejadian tersebut.
“Laporan tersebut berkaitan satu kejadian memandu secara melulu dan pergaduhan yang mengakibatkan kecederaan terhadap seorang lelaki di kawasan bulatan Lebuh Putra Utama, Bandar Putra.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 5.45 petang, Jumaat lalu ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun sedang menunggang motosikal dalam perjalanan untuk pergi bekerja di Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu suspek telah menukar haluan secara tiba-tiba dan hampir-hampir melanggar motosikal mangsa.
Katanya, mangsa bertindak mengetuk cermin tingkap kenderaan suspek lalu menyebabkannya tidak berpuas hati dan telah memberhentikan kenderaannya secara mengejut di tengah-tengah bulatan di hadapan motosikal mangsa sehingga memaksanya berhenti mendadak.
Beliau berkata, suspek kemudian turun dari kenderaan tersebut serta terus menendang motosikal mangsa menyebabkan motosikal terbalik dan mangsa kemudian dipukul di bahagian kepala dan badan dengan tangan.
Orang awam yang melihat kejadian tersebut katanya, membantu meleraikan pergaduhan, akibat kejadian itu mangsa mengalami kesakitan pada anggota badan.
Seng Lee berkata, kes disiasat bawah Seksyen 279, Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi 07-6632222.
Tambahnya, boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Teo Feng Shun 017-7759106.- MalaysiaGazette















