MELAKA – Seorang warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan adik iparnya di sebuah restoran, Disember tahun lalu.

Tertuduh yang merupakan pesara, Razaly Ramly, 69, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun di Restoran Maulana, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 1 pagi 15 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu didatangi tertuduh yang mencekak leher bajunya ketika ketika berada di kawasan parkir motosikal restoran berkenaan.

Kejadian dikatakan berpunca apabila tertuduh menuduh pengadu bersikap kurang ajar sehingga mencetuskan pertengkaran mulut berhubung tindakan tertuduh berkahwin secara rahsia dengan kakak mangsa di Thailand.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amritpal Singh.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon hukuman ringan mengambil kira tertuduh yang telah berusia serta masalah kesihatan yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast