GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran Sungai Marong berhampiran Kampung Lakai, Jelebu sehingga airnya bertukar hitam dan berbuih.
Gesaan itu dibuat susulan laporan mengenai penemuan bangkai pelbagai spesies ikan di sungai berkenaan yang dipercayai berpunca daripada pencemaran seperti dilaporkan sebelum ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab, selain memastikan tindakan tegas diambil mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“CAP menegaskan hasil kajian terhadap bangkai ikan serta ujian kualiti air sungai perlu didedahkan kepada umum dengan segera oleh JAS dan Jabatan Perikanan negeri, termasuk langkah yang diambil bagi mengatasi masalah ini.
“Kami bimbang jika keadaan ini berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, malah boleh memberi risiko kepada kesihatan orang ramai sekiranya ikan yang tercemar dimakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, CAP turut bersimpati dengan nasib nelayan yang terjejas dan mencadangkan supaya mereka diberikan pampasan setimpal susulan kemerosotan hasil tangkapan.
“CAP berharap kejadian ini tidak berulang kerana kesannya amat buruk terhadap alam sekitar serta kehidupan masyarakat setempat,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Mohd Azhar Jusoh memaklumkan pihaknya telah ke lokasi selepas menerima aduan dan mendapati air sungai berwarna kehitaman serta berbuih, dengan paras oksigen terlarut yang rendah dipercayai menjadi punca ikan mati. – MalaysiaGazette
















