KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menyatakan kekesalan dan bantahan keras terhadap tindakan pengurusan Batik Air Malaysia yang menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kira-kira 3,500 kakitangannya susulan pengurangan 35 peratus jadual penerbangan pada April ini.
NUFAM dalam satu kenyataan berkata, walaupun syarikat itu mendakwa langkah tersebut adalah `sukarela’ dan bertujuan memelihara sumber kewangan akibat lonjakan kos bahan api jet, namun kesatuan melihat ia sebagai satu lagi beban yang diletakkan di bahu pekerja atas kelemahan perancangan strategik syarikat.
Sehubungan itu, Nufam mempersoalkan mengapa pekerja perlu menanggung kesan apabila syarikat dilaporkan tidak mempunyai kontrak lindung nilai bahan api (fuel hedging) bagi menghadapi turun naik harga pasaran global.
Tegasnya, kegagalan pengurusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga itu tidak seharusnya mengakibatkan punca pendapatan pekerja terjejas menerusi cuti tanpa gaji.
“Tindakan menawarkan cuti tanpa gaji bermula 6 April ini dilihat sebagai jalan pintas untuk mengurangkan tekanan kewangan syarikat.
“Nufam menegaskan bahawa kebajikan 3,500 kakitangan harus menjadi keutamaan dan syarikat perlu meneroka alternatif lain yang tidak menjejaskan gaji pokok atau kestabilan ekonomi pekerja,” katanya.
Tambah kenyataan itu, walaupun dilabel sebagai `sukarela’, Nufam bimbang wujud tekanan secara tidak langsung (implicit pressure) kepada kakitangan untuk mengambil cuti tersebut demi `menyelamatkan’ syarikat.
Katanya, sebarang bentuk pemaksaan atau diskriminasi terhadap mereka yang tidak memohon cuti tanpa gaji itu adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Sehubungan itu, Nufam mengesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Sumber Manusia untuk memantau situasi tersebut dengan rapi.
“Kerajaan tidak boleh membiarkan syarikat penerbangan sewenang-wenangnya memotong atau mengurangkan pendapatan pekerja setiap kali berlaku krisis kos bahan api.
“Ini adalah krisis sementara dan bukan isu sepanjang hayat,” katanya.
Tambahnya, Nufam akan terus memantau perkembangan itu dan bersedia memberikan bantuan khidmat nasihat kepada mana-mana ahli yang merasa tertekan atau terjejas dengan dasar terbaharu tersebut.
“Syarikat penerbangan harus lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam menguruskan risiko perniagaan tanpa mengorbankan masa depan pekerjanya,” katanya. – MalaysiaGazette
















