MERSING – Sebahagian majikan dan orang tempatan menjadi perantara dalam urusan rumah sewa bagi menyorok identiti warga asing yang menjadi penyewa.
Bagaimanapun taktik tersebut terbongkar semasa serbuan dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di tapak pembinaan, rumah dan premis perniagaan sekitar sekitar daerah ini.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut yang dilakukan pukul 10 pagi, Sabtu lalu melibatkan sembilan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Cawangan Mersing.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi yang dijalankan ke atas beberapa rumah kediaman dan premis perniagaan berjaya menahan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dalam serbuan tersebut mendapati, sebahagian majikan dan individu tempatan bertindak sebagai perantara dalam urusan sewaan bagi menyorokkan identiti sebenar penyewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati, seramai 21 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dewasa warganegara Indonesia dan tujuh lelaki dewasa Bangladesh yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun.
Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata, mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu, sebanyak empat keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“JIM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing,” ujarnya.
Pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini.
“JIM Johor menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.- MalaysiaGazette
















