JIM menahan 28 wanita pelayan pelanggan pusat hiburan warga asing dalam serbuan di beberapa pusat hiburan di Segamat, Jumaat lalu.

SEGAMAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 28 wanita pelayan pelanggan pusat hiburan warga asing dalam serbuan di beberapa pusat hiburan di sini Jumaat lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Gegar yang mensasarkan premis hiburan itu dilakukan pukul 10 malam melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.

“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, operasi di beberapa premis hiburan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis turut berperanan melindungi pekerja asing tanpa izin.

“Menerusi pemeriksaan awal, seramai 28 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada 18 wanita dewasa warganegara Thailand, enam wanita dewasa Vietnam dan dua wanita dewasa Laos.

Katanya, mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan pusat hiburan berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 40 tahun.

Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, sebanyak 10 keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“JIM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing.

“Jabatan ini juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini,” ujarnya.

Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani, JIM Johor tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast