Nurfatimah Ibrahim

JOHOR BAHRU – Satu sistem penapisan yang khusus perlu dibuat sebelum pelajar institut pendidikan guru (IPG) dibenarkan menyertai latihan fizikal ekstrem.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nurfatimah Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi menentukan kesesuaian atau kelayakan pelajar untuk menjalani latihan berkenaan.

“Penilaian ini harus mengambil kira bidang pengkhususan, tahap kesihatan serta kesiapsiagaan mental dan fizikal setiap pelajar agar tiada pihak dipaksa melangkaui batas kemampuan diri.

“Selain itu, aspek keselamatan mesti diperkukuhkan melalui pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat bagi setiap aktiviti luar kampus.

“SOP ini hendaklah merangkumi penilaian risiko yang menyeluruh, latihan asas keselamatan, kehadiran jurulatih bertauliah, pemeriksaan peralatan secara berkala, serta pelan tindakan kecemasan yang jelas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu dua pelajar sebuah IPG ditemukan mati lemas selepas kayak dinaiki dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

Kedua-dua mangsa dikenal pasti pelajar lelaki dan perempuan berusia 20-an.

Mengulas lanjut, Pejuang Johor turut menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak institusi bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan setiap aktiviti dijalankan dengan kawalan keselamatan yang maksimum.

Fatimah berkata, sebarang kecuaian atau kelemahan dalam aspek ini boleh membawa kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.

Pejuang Johor percaya bahawa latihan kokurikulum sememangnya penting dalam membentuk ketahanan fizikal dan mental bakal guru.

Namun demikian katanya, keselamatan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Nyawa tidak seharusnya menjadi taruhan dalam usaha membentuk pendidik masa depan negara. Tragedi ini harus dijadikan pengajaran agar langkah penambahbaikan segera dapat dilaksanakan demi melindungi generasi akan datang,” katanya.dua

Pejuang Johor menyifatkan insiden dua pelajar terbabit amat menyayat hati dan merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga mangsa.

“Kehilangan ini amat memilukan kerana mereka merupakan aset penting negara dan bakal pemimpin masa depan dalam bidang pendidikan.

“Umum mengetahui bahawa pelajar IPG perlu melalui pelbagai latihan mencabar sebelum layak menjadi guru, termasuk aktiviti seperti berkayak, mendaki gunung, memanjat pokok, melakukan flying fox, mud run serta latihan ikhtiar hidup seperti memasak di hutan,” ujarnya.

Malah katanya, terdapat situasi di mana pelajar wanita terpaksa mengharungi cabaran fizikal yang melampaui kemampuan diri sehingga mengalami ketakutan melampau, namun masih perlu meneruskan latihan dalam keadaan tertekan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada tahap latihan yang dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan keperluan profesion perguruan,” katanya.

Justeru katanya, langkah penapisan yang sistematik dan jelas adalah wajar bagi mengelak tragedi sama berulang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast