TANGKAK – Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia dalam sebuah bas di Bukit Gambir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemandu bas memaklumkan seorang penumpangnya tidak sedarkan diri pukul 10.45 pagi.
“Mangsa iaitu seorang warga emas wanita berusia 64 tahun menaiki bas dalam perjalanan ke Muar didapati tidak sedarkan diri oleh pemandu bas.
“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Gambir dihubungi dan membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati tiada tanda-tanda kehidupan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak dan laporan bedah siasat mengesahkan sebab kematian adalah Coronary Artery Disease,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama pihak polis merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222.- MalaysiaGazette
















