Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang, Pasir Gudang semalam.

PASIR GUDANG – Seorang penunggang maut selepas motosikalnya hilang kawalan dan terlibat dalam nahas tiga kenderan di kilometer 21 Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam,  Superintendan Victor Genason berkata, kejadian pada pukul 11 pagi itu melibatkan motosikal jenis Yamaha dan dua kereta Proton Persona dan Mercedes-Benz.

“Kemalangan melibatkan lelaki tempatan berusia 20 tahun memandu Proton Persona, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang memandu Mercedes-Benz dan mangsa berusia 42 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa ketiga-tiga kenderaan bergerak di laluan sama di lorong paling kanan iaitu menghala ke Pasir Gudang.

“Ketika itu Proton Persona berada di hadapan diikuti Mercedes-Benz dan motosikal tersebut di belakang Mercedes-Benz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setibanya di lokasi Proton Persona dikatakan memperlahan kenderan selepas terlanggar lopak air serta menyalakan lampu isyarat kecemasan.

Katanya, serentak itu juga Mercedes-Benz mengubah haluan ke kiri memasuki lorong tengah untuk mengelak perlanggaran dengan Proton Persona.

“Dalam masa yang sama mangsa yang berada di belakang Mercedes-Benz menekan brek tetapi hilang kawalan sehingga terseret dan melanggar bahagian belakang Proton Persona serta bahagian sisi belakang kanan Mercedes-Benz sebelum terjatuh tengah jalan,” katanya.

Menurut Mohd Sohaimi, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa katanya, dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk proses siasatan lanjut.

Menurut beliau, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast