PONTIAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) menberkas tiga lelaki warga asing selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan arak haram di Taman Utama, Pekan Nanas di sini Sabtu lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Salehin Suleiman berkata, operasi berkenaan dilakukan pukul 12 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA menerusi Operasi Taring Alpha 2.
“Menerusi serbuan tersebut tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 24 hingga 33 tahun ditahan dan arak tidak bercukai termasuk sebuah kenderaan berjumlah RM952,000 dirampas.
“Rumah kediaman itu disewa untuk dijadikan stor penyimpanan sebelum bekalan diedarkan mengikut pesanan sekitar daerah Pontian.
“Ratusan kotak arak pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai dan sebuah Proton Exora dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette
















