GEORGE TOWN – Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) di empat lokasi berhampiran pesisir pantai Pulau Pinang kini dinaik taraf kepada teknologi ‘Smart Digital Box’ (SDB) 4G bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian amaran.
Pegawai Meteorologi MetMalaysia Pulau Pinang, Mazlan Ishak berkata, penambahbaikan itu memberi kelebihan dari segi liputan bunyi apabila sistem baharu dilengkapi pembesar suara jenis ‘omnidirectional’ yang mampu menyebarkan bunyi ke semua arah.
Menurutnya, ciri itu berbeza dengan sistem terdahulu yang hanya menggunakan pembesar suara ‘bidirectional’ dengan liputan terhad kepada dua arah sahaja.

“Selain peningkatan pada perkakasan, proses penyampaian maklumat juga lebih pantas sebaik sahaja amaran diterima daripada ibu pejabat.
“Dari segi kekuatan bunyi, sistem lama hanya mampu mencapai radius sekitar dua kilometer, namun melalui sistem baharu, liputan itu kini meningkat sehingga tiga kilometer,” katanya ketika ditemui semasa pengujian siren SAATNM di Masjid Terapung Tanjung Bungah di sini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, dua lagi lokasi yang terlibat dalam ujian semalam ialah Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Feringghi serta jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Teluk Bahang.
Katanya, satu lagi pengujian akan diteruskan hari di Pusat Latihan Kenegaraan di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau.
“Ujian siren berkenaan dijalankan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan semua peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan.
“Bagi fasa pertama pengujian ia berjalan lancar serta mematuhi semua prosedur yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette















