KL City tewas menentang JDT dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Kuala Lumpur (KL) City kini fokus kepada saingan Liga Super bagi merebut tempat kedua setelah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 1-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengendali KL City, Risto Vidakovic berkata, aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT malam tadi tidak memberi makna kepada The City Boys apabila sedar mustahil untuk bangkit setelah tewas 0-4 dalam aksi pertama di Cheras.

“Fokus KL City kini terarah kepada misi mengutip tiga mata menentang Kelantan The Real Warriors (TRW), Jumaat ini.

“Peluang untuk memburu tempat kedua liga masih terbuka setelah perbezaan mata antara kami, Kuching City FC dan Selangor FC adalah rapat. Bezanya Kuching City ada kelebihan iaitu kurang satu perlawanan.

“Kami perlu memenangi semula baki perlawanan bagi mengutip mata penuh. Ini adalah tugas saya dan setiap pemain kerana kami beraksi untuk lencana di dada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan antara JDT dengan Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Pengendali kelahiran Bosnia-Herzegovina itu berkata, ketiadaan beberapa pemain yang tidak bersama-sama pasukan menyaksikan KL City yang bermula konsisten pada awal saingan liga kini berdepan prestasi terumbang-ambing.

Jelasnya, situasi itu menyebabkannya sukar untuk melakukan penggiliran pemain disusuli faktor kepenatan yang menjejaskan persembahan pasukan.

“Apa pun, anak buah saya memahami situasi ini dan kami akan terus bangkit untuk aksi seterusnya walaupun akan berdepan kerumitan ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast