PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan campur tangan dalam insiden kekecohan yang berlaku ketika sesi ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini pihak kerajaan tidak menerima apa-apa laporan berhubung insiden berkenaan.
“Saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media ataupun melalui laporan media.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran maka apa tindakan yang perlu disusuli itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Semalam, ketika berucap di World Trade Centre Kuala Lumpur, Azam Baki secara tiba-tiba ‘diganggu’ dua lelaki yang membawa sepanduk, mencetuskan suasana tegang dalam dewan.
Salah seorang individu terbabit dilaporkan menjerit sebelum meluru ke arah hadapan pentas,menyebabkan hadirin terkejut dengan tindakan provokatif tersebut.
Namun keadaan berjaya dikawal pantas apabila petugas keselamatan bertindak segera mengiringi lelaki berkenaan keluar dari dewan sebelum insiden menjadi lebih serius.
Walaupun berdepan gangguan yang mencetuskan kekecohan, Azam kekal tenang dan meneruskan ucapan dengan reaksi bersahaja, mempamerkan profesionalisme dalam situasi yang tidak dijangka.
Insiden itu kini menjadi perhatian ramai namun kerajaan menegaskan sebarang tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa. — MalaysiaGazette
















