Sebanyak 50 tong air diagihkan kepada penduduk di Felda Simpang Waha, Kota Tinggi malam tadi yang mengalami gangguan bekalan air.

KOTA TINGGI – Seorang usahawan tampil menyampaikan bekalan air percuma kepada penduduk di Felda Simpang Waha di sini yang mengalami krisis air.

Pemilik syarikat pengangkutan, Ard Transport, Haazmil Hadman, 40, berkata, bekalan air diagihkan kepada kejiranan di kawasan Felda berkenaan malam tadi.

Menurutnya, bekalan air bersih diambil dari rumahnya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru sebelum dihantar ke Felda tersebut menggunakan lori miliknya.

“Kita agihkan kira-kira 50 liter untuk setiap rumah kejiranan menggunakan 50 tong air yang disediakan. Ini sebagai tanggungjawab sosial dan juga rasa prihatin kerana kampung ini adalah tempat asal saya, malah ibu saya juga masih menetap di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haazmil tersentuh apabila mendapat tahu ibu serta penduduk lain terpaksa bergantung sepenuhnya dengan lori tangki berikutan bekalan air paip yang masih belum pulih.

“Saya sendiri tidak tinggal di sana, jadi bila dapat tahu keadaan mereka memang rasa kasihan. Air yang saya bawa ini diambil dari rumah saya sendiri dan diberikan secara percuma kepada jiran-jiran. Semoga usaha ini sedikit sebanyak menggembirakan mereka,” katanya.

Dia tidak kisah walaupun terpaksa berdepan kos sendiri termasuk harga minyak yang mahal dan logistik asalkan dapat membantu kejiranan disitu.

Terdahulu, gangguan bekalan air di kawasan tersebut berpunca daripada keadaan Sungai Ulu Sedili Kecil yang kering akibat kemarau berpanjangan melebihi dua bulan.

Sungai berkenaan merupakan sumber utama bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng sebelum dirawat dan diagihkan ke beberapa kawasan termasuk Gugusan Felda Lok Heng, Gugusan Felda Waha, Felda Bukit Waha serta Felda Bukit Easter.

Difahamkan, seramai 4,042 akaun pengguna di kawasan terlibat kini terjejas dan bergantung kepada bekalan air alternatif sementara menunggu keadaan kembali pulih. –  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast