KUALA LUMPUR – Berbekalkan pengalaman hidup yang penuh cabaran serta tekad untuk membantu masyarakat, Suzana Abu Bakar muncul sebagai antara penerima 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026 sekali gus mengangkat peranan wanita sebagai pemacu perubahan negara.

Tokoh dalam industri pewarisan harta Islam itu mencuri perhatian bukan sahaja melalui kejayaan kerjayanya malah melalui misi kemanusiaan yang lahir daripada kisah benar kehidupan.

Titik perubahan berlaku apabila beliau berdepan situasi seorang balu yang terpaksa berpisah dengan anak-anak akibat ketiadaan perancangan harta, insiden yang menjadi pemangkin kepada perjuangannya hari ini.

Kisah seorang ibu yang terpaksa meninggalkan enam orang anak demi mencari rezeki di luar negara akibat kegagalan mengurus pusaka membuka mata dan hatinya tentang realiti pahit yang dihadapi ramai wanita.

Wanita yang berasal dari Temerloh, Pahang itu memulakan kerjayanya dalam bidang audit sebelum beralih ke perancangan kewangan Islam pada tahun 2005.

Suzana Abu Bakar antara penerima 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026

Kini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif Kausar Wealth Management Sdn Bhd, agensi pewarisan harta Islam yang mengurus lebih 8,000 pelanggan dengan nilai aset mencecah RM8 bilion.

Dengan pengalaman lebih dua dekad, Suzana bukan sahaja memimpin organisasi malah membangunkan ekosistem ilmu melalui latihan, teknologi dan program kepimpinan bagi melahirkan lebih ramai perunding dalam industri tersebut.

Menurut beliau, pengiktirafan WIN 2026 bukan sekadar penghargaan tetapi amanah untuk terus memberi impak kepada masyarakat.

Melalui pendekatan Rancang Kerana Sayang, beliau menekankan bahawa pewarisan harta adalah soal melindungi keluarga bukan sekadar urusan kewangan.

Walaupun berdepan cabaran seperti tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah, Suzana optimis melatih sehingga 10,000 perunding dan memperluaskan pengaruh ke peringkat antarabangsa.

Di sebalik kejayaan, beliau tetap mengutamakan keluarga kerana baginya kekuatan institusi keluarga menjadi asas kepada kestabilan masyarakat dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast