ALOR GAJAH – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk kepala seorang guru wanita, Oktober tahun lalu.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhi hukuman itu terhadap R Rajakogillan, 35, setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 44 tahun dengan cara menumbuk belakang kepalanya sebanyak tiga kali.
Perbuatan itu dilakukan di di tempat letak kereta Taman Terendak Heights, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah lebih kurang jam 7.30 petang, 5 Oktober 2025.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada konflik hubungan peribadi antara tertuduh dan mangsa yang merupakan etnik Iban berstatus ibu tunggal dua anak.
Insiden berlaku ketika kedua-duanya bertemu di dalam kereta untuk membincangkan hala tuju hubungan selepas mangsa mengetahui tertuduh mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Namun berlaku pertengkaran sebelum tertuduh didakwa menumbuk belakang kepala mangsa yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Alor Gajah sebanyak tiga kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee.
Peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan pertama, selain tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama selain bekerja sebagai pegawai tentera berpendapatan bulanan RM5,000.
Anak guamnnya juga, katanya, ketika kejadian bertindak untuk mempertahankan diri dan bukanlah kekasih mangsa, malah tertuduh juga baharu berkahwin dan membawa isterinya bersama pada prosiding hari ini.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette
















