KUALA LUMPUR — Portal berita Harapan Daily hari ini menarik balik artikel berkaitan BestiNet serta memohon maaf selepas mendapati kandungannya tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Artikel berkenaan yang ditulis oleh Syam Ghaz bertajuk “Isu BestiNet dah berlarutan sejak 2018 bukan ciptaan Kerajaan MADANI” diterbitkan dengan bersumberkan sepenuhnya daripada hantaran Facebook penulis itu bertarikh 1 Februari lalu.
Dalam satu kenyataan, Harapan Daily menjelaskan pihaknya tidak bertanggungjawab ke atas kenyataan yang dibuat oleh Syam Ghaz dalam artikel tersebut dan menegaskan pandangan berkenaan bukan pendirian rasmi portal itu.
“Harapan Daily, setelah mengetahui kewujudan tentang artikel tersebut telah menyelidik kandungan artikel tersebut berbanding dengan laporan-laporan Public Accounts Committee (PAC).
“BestiNet Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang kredible dan yang telah melaksanakan sistem FWCMS serta modul-modulnya termasuk Bio-Medical dan eVisa with Reference menurut perjanjian-perjanjian yang sah dan mengikat.
“Sistem FWCMS juga merupakan satu sistem yang melaraskan dan mengesahkan dokumentasi pekerja migran yang sebelumnya adalah ‘paper-based’ lalu mengurangkan risiko dokumen-dokumen yang dipalsukan,” kata portal itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Portal itu turut menjelaskan bahawa selepas semakan dibuat terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beberapa dakwaan yang terkandung dalam artikel tersebut didapati tidak tepat.
Menurut kenyataan itu lagi, dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mewarisi masalah BestiNet dan memuktamadkan kontrak pada September 2024 sebagai usaha ‘damage control’ adalah tidak benar.
“Oleh yang demikian, kenyataan ‘kerajaan Perpaduan mewarisi masalah ini dan pada September 2024, mereka memuktamadkan kontrak untuk menutup lompong undang-undang dan melindungi kepentingan negara. Ini bukan skandal baru, tetapi usaha ‘damage control’ terhadap kecuaian lama’ adalah kenyataan yang tidak benar,” jelasnya. — MalaysiaGazette
















