KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin berpandangan kenyataan Majlis Peguam berhubung kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu dilihat secara menyeluruh agar tidak menimbulkan persepsi tidak seimbang dalam kalangan masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan berkata, kenyataan Majlis Peguam yang menyifatkan tindakan pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) sebagai boleh menghakis kepercayaan awam seharusnya mengambil kira keseluruhan proses perundangan serta asas pertimbangan dalam sesuatu kes.
Menurutnya, dalam sistem keadilan negara, setiap keputusan pihak pendakwaan dibuat berdasarkan fakta kes dan pertimbangan undang-undang.
“Pandangan yang dikemukakan perlu bersandarkan prinsip konsistensi dan tidak menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat layanan berbeza dalam kes tertentu,” katanya hari ini.
Mohd Asna berkata, semua pihak termasuk badan profesional perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi perundangan.
“Adalah penting untuk kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh disalah tafsir oleh masyarakat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut merujuk kepada kenyataan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan yang disifatkan mencerminkan pandangan tertentu berhubung isu tersebut.
Beliau menegaskan sebarang pandangan berkaitan undang-undang perlu dibuat secara menyeluruh, berlandaskan fakta serta tidak menimbulkan persepsi berat sebelah.
Tambahnya, sebagai badan yang mewakili profesion guaman, Majlis Peguam mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan integriti sistem perundangan terus terpelihara.
“Jika mahu mempertahankan kedaulatan undang-undang, prinsip itu mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa mengira individu atau pihak yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette
Permohonan Peguam Negara DNAA Zahid hakis kepercayaan awam – Badan Peguam
















