KUALA LUMPUR – Sekumpulan petani di Pasir Mas, Kelantan melakukan solat hajat di tepi Sungai Tendong selepas kawasan itu sudah lama tidak dilimpahi hujan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, solat hajat itu dilakukan selepas perbincangan ringkas dengan para petani jagung dan tembikai yang kini terjejas teruk akibat fenomena kemarau panjang.
“Solat hajat mohon ALLAH SWT turunkan hujan di tepi Sungai Tendong.
“Boleh lihat sendiri rumput yang biasanya menghijau sudah kering kontang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, ketiadaan hujan memaksa golongan petani mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan hasil tanaman mereka.
“Petani terpaksa gunakan enjin air sendiri yang menggunakan bahan api diesel dan petrol untuk pam air dari telaga tiub.
“Diesel pula naik harga mengasak petani ke dinding,” katanya lagi.
Susulan rintihan tersebut, Ahmad Fadhli bercadang untuk menyumbangkan enjin solar dan menyalurkan bekalan air ke tangki-tangki besar terlebih dahulu sebelum diambil oleh para petani.
“Kosnya agak lumayan tapi berbaloi.
“Peruntukan tidak ada, kita cuba ikhtiar cari…,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, kemarau panjang yang melanda Kelantan telah menjejaskan beberapa kawasan termasuk Sungai Tendong yang dilapor berlaku sekitar bulan lalu.
Fenomena itu menyebabkan paras air sungai menyusut drastik dan air bertukar warna menjadi kehijauan akibat cuaca panas berpanjangan.
Keadaan itu memberi kesan kepada sumber air di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette
















