APKS merampas 888 botol minuman keras bernilai RM110,652 dalam operasi di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini merampas minuman keras pelbagai jenama yang cuba diseludup bernilai RM110,652 semalam.

AKPS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kegiatan penyeludupan di BSI itu dikesan susulan pemeriksaan terhadap sebuah van perdagangan dalam operasi pemantauan yang dijalankan di laluan pemandu bas arah ketibaan dari Singapura pada pukul 3.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan dibuat selepas mendapati terdapat seorang penumpang berada di sebelah pemandu sedangkan hanya pemandu yang dibenarkan berada dalam kenderaan menggunakan laluan tersebut.

“Tindakan pemeriksaan lanjut dijalankan setelah pemandu serta penumpang van terbabit, kedua-duanya warga tempatan berusia 38 dan 43 tahun enggan memberi kerjasama dengan tidak memberi sebarang reaksi apabila disoal.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan sejumlah kotak ditutup dengan kain hitam dan mengandungi 888 botol minuman keras tidak diisytiharkan yang cuba diseludup masuk,” katanya.

AKPS memberitahu, minuman keras yang dirampas dalam kapasiti berjumlah 700 liter tersebut bernilai RM17,328, manakala nilai cukai yang terlibat adalah RM93,324 menjadikan jumlah rampasan bernilai RM110,652.

Menurut kenyataan itu lagi, semua minuman keras tersebut disita dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, sebarang perbuatan atau cubaan menyeludup serta keengganan untuk mengisytiharkan barangan dibawa merupakan suatu kesalahan yang boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Kastam 1967.

“Pihak AKPS sentiasa komited dalam usaha memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negara bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam atau mendatangkan kerugian terhadap kutipan hasil negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast