Pesakit Dementia ketika melakukan tugasan pada program Kafe Memori ''Forget-Me-Not'' di Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIl 2026.

KUALA LUMPUR – Inisiatif Kafe Memori Forget-Me-Not dilihat sebagai pendekatan baharu  merapatkan jurang antara golongan muda dan warga emas khususnya individu yang hidup dengan demensia.

Demensia atau nyanyuk istilah umum untuk sekumpulan gejala kemerosotan fungsi otak yang progresif, menjejaskan memori, pemikiran, tingkah laku, dan keupayaan harian.

Pensyarah Universiti Monash Malaysia, Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, idea tersebut tercetus daripada usaha untuk membina hubungan yang lebih bermakna antara dua generasi yang masih kurang berinteraksi secara langsung dalam masyarakat hari ini.

Beliau yang juga Ahli Farmasi Klinikal dan penyelidik yang memfokuskan kerjanya kepada penambahbaikan pengurusan ubat-ubatan serta penjagaan bagi individu yang hidup dengan demensia berkatam program itu dimulakan melalui kerjasama dengan rakan industri, Avant Health.

Jelas beliau, Avant Health menyediakan dana serta platform pertandingan kepada pelajar universiti di seluruh negara.

Pengerusi Pensyarah di Universiti Monash Malaysia, Dinesh Sangarran Ramachandram. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIl 2026.

“Pada peringkat awal, kita mahu merapatkan jurang antara belia dan warga emas kerana hubungan ini masih belum wujud dengan kukuh. Jadi, kita mulakan inisiatif ini bersama Avant Health sebagai rakan industri di mana kita memberikan pembiayaan kepada pelajar melalui satu pertandingan.

“Kita buka penyertaan kepada pelajar universiti di Malaysia, pilih tiga finalis dan ini adalah salah satu projek daripada mereka yang bertujuan bekerjasama dengan komuniti serta menjalankan aktiviti kesedaran termasuk pembukaan kafe ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan Kafe Memori yang dianjurkan dengan kerjasama Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADFM) dan pelajar Universiti Monash Malaysia.

Antara pesakit Dementia yang terlibat semasa program Kafe Memori ”Forget-Me-Not” di Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIl 2026.

Mengulas cabaran utama dalam mendekati golongan warga emas khususnya pesakit demensia, beliau menegaskan, aspek interaksi dan pemahaman gaya hidup menjadi perkara paling penting.

“Cabaran terbesar adalah dari segi interaksi. Kadang-kadang mereka mempunyai cara tersendiri untuk memahami sesuatu, jadi kita perlu menyesuaikan diri dengan gaya hidup dan kualiti hidup mereka.

“Kita perlu memahami mereka terlebih dahulu, bertanya bagaimana mereka menjalani kehidupan sebelum ini supaya kita dapat berhubung dengan mereka dan membawa mereka ke arah perjalanan yang mereka selesa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan inisiatif berkenaan tidak terhenti di Lembah Klang sahaja sebaliknya bakal diperluaskan ke seluruh negara melalui kerjasama dengan pelbagai persatuan demensia.

Pesakit Dementia ketika melakukan tugasan pada program Kafe Memori ”Forget-Me-Not” di Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIl 2026.

“Ya, ini juga sebahagian daripada usaha kami untuk bekerjasama dengan organisasi di negeri lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Perak.

“Matlamatnya adalah untuk membawa inisiatif ini ke negeri-negeri lain termasuk Johor, Ipoh dan Pulau Pinang malah ke Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai masyarakat mendapat manfaat,” katanya lagi.

Dinesh yang juga penerima Geran Merdeka Award menambah Kafe Memori Forget-Me-Not merupakan platform inklusif yang memberi peluang kepada individu dengan demensia untuk berinteraksi, bekerja serta membina keyakinan diri dalam suasana komuniti yang menyokong.

Untuk rekod, Geran Merdeka Award dilancarkan pada 2012 oleh Merdeka Award Trust.

Ia merupakan lanjutan kepada Merdeka Award dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang cemerlang berusia antara 22 hingga 35 tahun untuk menjalani penempatan antarabangsa jangka pendek sehingga tiga bulan di institusi bertaraf dunia.

Geran tersebut untuk menyokong penyelidikan, pengajian atau projek profesional mereka yang selaras dengan aspirasi Anugerah Merdeka iaitu kecemerlangan, integriti dan khidmat kepada negara.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast