Tangkap layar daripada seorang pengguna jalan raya, difahamkan penunggang motorsikal dalam keadaan parah ketika ini.

PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Kilometer 5.4, menghala ke Kepong semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku pukul 8.43 pagi apabila sebuah kenderaan secara tiba-tiba menukar haluan ke lorong kanan bagi mengelak melanggar kenderaan di hadapannya yang berhenti mengejut.

“Tindakan itu menyebabkan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan lain termasuk sebuah motosikal. Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kredit: Pengguna Threads

Menurutnya, insiden tersebut mula tular di media sosial sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Abdul Haris Nasution di talian 018-3631786 atau IPD Petaling Jaya di 03-79662222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast