KUALA LUMPUR – Kira-kira 10,000 penjaja di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menikmati pengurangan sewa tapak sehingga Disember 2027 sebagai langkah membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup serta kenaikan harga minyak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata DBKL dan Perbadanan Labuan merupakan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal mengumumkan inisiatif tersebut bagi meringankan beban penjaja di pasar awam dan medan selera.
Menurut beliau, pengurangan itu melibatkan pelbagai kategori tapak penjaja termasuk pasar awam, medan selera serta ruang niaga lain di bawah seliaan DBKL.
“Untuk melawan kos sara hidup sekarang dan harga minyak, DBKL dan Perbadanan Labuan telah mengumumkan, kita antara yang pertama mengumumkan pengurangan sewa untuk tapak mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Putrajaya Aktif di Dataran Putrajaya.
Dalam sidang media sama, Hannah menjelaskan antara yang menerima manfaat daripada pengurangan tersebut meliputi penjaja di pasar, medan selera dan pelbagai premis niaga lain.
Tambahnya, Perbadanan Labuan turut melaksanakan langkah sama melibatkan tapak pasar di wilayah berkenaan sebagai sebahagian usaha menyeluruh membantu peniaga kecil.
Namun, beliau memaklumkan Perbadanan Putrajaya masih menilai pendekatan terbaik sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pengurangan sewa.
“Untuk Perbadanan Putrajaya kita sedang pantau dulu dan kita nak tengok apa lagi usaha yang kita boleh bagi selain daripada pemberian diskaun untuk tapak-tapak sewa,” katanya.
Menurut beliau, tiga PBT di bawah Wilayah Persekutuan akan terus mencari kaedah terbaik bagi membantu warga kota, termasuk peniaga, dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Dalam masa sama, beliau mengakui pengurangan sewa memberi kesan kepada hasil PBT yang perlu ditampung melalui sumber lain.
“Buat masa ini kita fokus untuk sewa dulu. Kerana kita juga ada tanggungan yang tinggi. Bukan sahaja untuk bila kita kurangkan sewa itu bermaksud kita kena cari hasil daripada sumber yang lainlah,” katanya lagi.
Beliau berkata kenaikan harga minyak turut memberi tekanan kepada kos operasi perkhidmatan PBT, sekali gus menjadikan langkah bantuan kepada penjaja sebagai keseimbangan antara kebajikan rakyat dan keupayaan kewangan pihak berkuasa tempatan.
Mac lalu, DBKL mengumumkan pengurangan kadar sewaan tapak penjaja serta premis tertentu di bawah seliaannya sebanyak 50 peratus, berkuat kuasa 1 April ini hingga 31 Disember 2027. – MalaysiaGazette
















