SERANG, INDONESIA – Dua wanita ditahan atas tuduhan menghina agama Islam selepas satu video memaparkan salah seorang daripada mereka memijak al-Quran tular di media sosial.

Polis Indonesia berkata, kedua-dua wanita berkenaan, yang identiti mereka dirahsiakan ditahan polis di wilayah Banten, minggu ini.

Katanya, kedua-dua wanita terbabit berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan di bawah undang-undang penghinaan agama Indonesia.

Undang-undang itu melarang sesiapa sahaja daripada membuat kenyataan yang menghina mana-mana daripada enam agama rasmi di negara itu atau menghalang penganut daripada mengamalkan agama masing-masing.

Kejadian itu berlaku pada Rabu apabila seorang pemilik salun di Lebak, Banten, kira-kira 140 kilometer dari ibu negara Jakarta, menuduh seorang pelanggan mencuri barang miliknya.

Apabila wanita itu menafikannya, pemilik salun berkenaan memaksa beliau bersumpah sambil memijak al-Quran, dan merakam kejadian berkenaan dalam video.

“Individu yang memijak al-Quran dan individu yang meminta dia bersumpah kedua-duanya telah mengakui perbuatan mereka.

“Polis telah memanggil mereka dan kini mereka telah diklasifikasikan sebagai suspek,” kata jurucakap polis Banten, Maruli Ahiles Hutapea kepada AFP.

Video kejadian itu tersebar luas di media sosial, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Pada 2017, bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, dipenjarakan hampir dua tahun atas tuduhan menghina agama.

Pada 2024, seorang pelawak pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas membuat jenaka mengenai nama Muhammad.

Indonesia merupakan negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, dengan lebih 240 juta penganut. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast