KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan percubaan satu sindiket menyeludup dadah bernilai RM1 juta ke negara jiran pada kira-kira 0.4 batu nautika barat Batu Layar di sini Rabu lalu.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, Maritim Tanjung Sedili melakukan rampasan itu pukul 9.40 malam selepas menerima maklumat risikan mengesan sebuah bot gentian kaca dinaiki dua individu dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut bertindak agresif dengan berpatah balik. Berlaku aksi mengejar kira-kira 10 minit sebelum bot berkenaan memecut laju ke arah pantai bagi elak ditahan.

“Terdapat dua individu dipercayai kru bot berkenaan berjaya melarikan diri selepas bertindak terjun ke laut kira-kira 700 meter dari kawasan pantai Batu Layar,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan sebuah beg mengandungi 20 bungkusan berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu anggaran berat keseluruhan mencecah 20 kilogram.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki cuba menghantar dadah berkenaan ke negara jiran dan berkemungkinan terdapat bot atau kapal lain menunggu untuk menerima bungkusan tersebut di pertengahan jalan.

“Jarak lokasi bot itu ke negara jiran sekitar kira-kira 30 ke 40 batu manakala enjin bot dinaiki suspek berkekuatan 85 kuasa kuda sahaja jadi untuk ke negara jiran, satu jarak yang jauh,” ujarnya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi berkenaan bagaimanapun siasatan masih dijalankan.

Operasi itu juga katanya, adalah hasil risikan yang dilakukan selama tiga ke empat minggu dan dadah berkenaan juga dipercayai untuk kegunaan 1,000 penagih.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1 juta di mana rampasan terbesar yang dilakukan Zon Maritim Tanjung Sedili manakala nilai bot dan enjin dianggarkan sekitar RM40,000,” ujarnya

Tambahnya, kesemua rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast