JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan Pusat mengkaji semula secara menyeluruh struktur subsidi bahan api negara, khususnya melibatkan diesel fosil dan biodiesel.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, ini bagi memastikan penggunaan dana awam yang lebih strategik, berimpak tinggi dan berpihak kepada rakyat.
“Subsidi diesel fosil dalam skala besar bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah menyebabkan aliran keluar wang ke luar negara akibat kebergantungan kepada import minyak mentah.
“Dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu, kebergantungan ini meningkatkan risiko fiskal negara secara signifikan.
“Sebaliknya subsidi biodiesel berasaskan sawit memberi kesan limpahan ekonomi domestik yang lebih jelas apabila manfaatnya kembali kepada rakyat melalui pekebun kecil dan industri sawit tempatan, di samping membantu menstabilkan harga minyak sawit mentah (CPO),” katanya dalam kenyataan.

Walau bagaimanapun, Pejuang Johor menegaskan bahawa biodiesel bukan penyelesaian tunggal kepada isu tenaga negara dan perlu dilihat dalam kerangka dasar yang lebih seimbang serta realistik.
Pada masa ini katanya, Malaysia melaksanakan mandat B10 secara nasional dengan peluasan B20 di lokasi terpilih menjadikan penggunaan biodiesel sekitar 10 hingga 20 peratus daripada jumlah diesel negara.
Katanya, pengeluaran biodiesel pula dianggarkan sekitar 906,000 tan setahun iaitu hanya separuh daripada kapasiti sebenar industri.
Berbanding Indonesia yang telah melaksanakan mandat B35 dan merancang ke arah B40 serta B50 katanya, Malaysia masih mengambil pendekatan lebih berhati-hati berdasarkan kemampuan fiskal dan struktur industrinya.
“Malaysia telah melalui perkembangan berperingkat daripada B5 ke B7, B10 dan kini B20 dengan kerajaan sedang meneliti pelaksanaan B30 secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seperti B100 yang diperkenalkan oleh Felda sebagai projek rintis menunjukkan potensi penggunaan biodiesel tulen, namun kos pengeluaran yang dianggarkan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 seliter serta keperluan pelaburan tambahan bagi modifikasi infrastruktur dan penyelenggaraan enjin menjadikan pelaksanaannya lebih mencabar.
Infrastruktur sedia ada juga belum bersedia sepenuhnya untuk menyokong penggunaan meluas B30 atau B100 tanpa pelaburan besar, katanya.
Daripada sudut subsidi ujar beliau, peningkatan harga diesel global menyebabkan lonjakan subsidi daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada anggaran sehingga RM6 bilion sebulan.
Walaupun subsidi biodiesel memberi pulangan kepada ekonomi domestik, Zainuddin berkata, kos pengeluarannya yang lebih tinggi berbanding diesel fosil tanpa subsidi bermakna beban fiskal tetap wujud, cuma arah aliran manfaat ekonomi berbeza.
Pejuang Johor turut menekankan beberapa cabaran utama yang perlu ditangani termasuk kos biodiesel yang tinggi, isu teknikal enjin seperti deposit dan penyerapan air, keperluan naik taraf infrastruktur, tekanan antarabangsa terhadap industri sawit, risiko kebergantungan kepada satu komoditi serta kemungkinan ketirisan subsidi yang lebih memihak kepada syarikat besar berbanding pekebun kecil.
Selain itu katanya, biodiesel juga mempunyai isu daripada segi kestabilan simpanan dan kecekapan tenaga serta tidak menyelesaikan keperluan transformasi tenaga jangka panjang ke arah sumber yang lebih bersih.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mencadangkan pendekatan yang lebih strategik dan berimbang termasuk mempercepatkan pelaksanaan B20 dan B30 secara terkawal, menjadikan B100 sebagai pilihan sandaran dalam situasi krisis tenaga, memastikan subsidi disasarkan secara lebih telus serta memperluaskan pelaburan dalam tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik, hidrogen dan tenaga boleh baharu.
Kesimpulannya, Pejuang Johor berpandangan bahawa subsidi biodiesel adalah lebih berbaloi daripada sudut ekonomi domestik kerana manfaatnya kembali kepada rakyat dan industri tempatan.
Namun kata beliau, dasar tenaga negara tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja.
“Malaysia perlu membangunkan dasar tenaga yang defensibel, realistik dan seimbang demi menjamin keselamatan tenaga negara serta masa depan pekebun kecil dan generasi akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette
















