KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memusnahkan sebuah tamadun berusia 3,000 tahun sebagai tindakan tidak bertamadun.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata ancaman tersebut menunjukkan tahap pemikiran pihak yang sanggup mencadangkan kemusnahan terhadap warisan lama dunia.
Katanya, dalam sejarah manusia, tamadun moden seharusnya menghormati dan memelihara peninggalan tamadun terdahulu, bukannya memusnahkannya.
“Cadangan untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun berusia ribuan tahun menunjukkan kualiti rendah tamadun pihak yang membuat ancaman itu,” ujarnya.
Menurut beliau, tindakan sedemikian mencerminkan sikap sebenar pihak berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertamadun.
Tambahnya, ancaman itu jelas memperlihatkan tahap nilai dan peradaban pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette















