KOTA TINGGI – Seorang pengusaha kerepek pisang di Felda Papan Timur di sini lega apabila strateginya dengan menambah pengeluaran sebanyak dua tan lagi bagi memastikan bekalan cukup untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini berjaya.
Pengusaha Al Rizq Foods Felda Papan Timur, Mohd Sufian Ismail, 38, berkata, kebimbangan kemungkinan Syawal diumumkan lebih awal berasas walaupun hari raya puasa kali ini tidak diumumkan sehari lebih awal seperti dijangkanya.
Menurut Mohd Sufian, kebiasaannya operasi pengeluaran dihentikan seminggu sebelum Aidilfitri, namun kali ini pekerjanya masih meneruskan kerja produksi iaitu dua hari sebelum Syawal.
Keputusan itu katanya, dibuat sebagai persediaan sekiranya Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini diumumkan secara mengejut seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Biasanya minggu terakhir sebelum raya kami sudah hentikan produksi kerana kebanyakan stok telah siap awal untuk diagihkan kepada pembekal, jualan di kedai dan juga untuk jualan selepas raya.
“Tetapi tahun ini kita tambah lagi pengeluaran kerepek pisang untuk dua hari terakhir ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya raya diumumkan lebih awal.
“Kebiasaannya untuk Ramadan kami akan menggunakan kira-kira 30 tan pisang tanduk mentah bagi menghasilkan kerepek untuk pasaran Aidilfitri tetapi kali ini kita tambah lagi dua tan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Felda tersebut.
Mohd Sufian yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan kerepek dan biskut raya berkata, pengalaman ‘raya mengejut’ pada 2022 memberi pengajaran kepada peniaga agar sentiasa bersedia dengan kemungkinan tersebut.
Katanya, ketika itu kedainya yang turut menjual biskut raya habis diserbu dalam masa singkat selepas pengumuman raya dibuat.
“Waktu itu kami memang tidak sangka raya awal. Stok yang sepatutnya dijual untuk selepas raya terpaksa kami keluarkan kerana ramai pelanggan datang membeli pada saat-saat akhir.
“Disebabkan itu tahun ini kami ambil langkah tambah sedikit pengeluaran sebagai persediaan jika perkara sama berlaku,” katanya.
Mohd Sufian turut mengambil pendekatan berbeza tahun ini dengan menyediakan kerepek digoreng segar setiap pagi bagi pelanggan yang datang terus ke kedainya.
“Sebelum ini kebanyakan peniaga akan buat awal dan simpan stok, tetapi tahun ini saya cuba ubah konsep dengan menyediakan kerepek segar setiap hari untuk pelanggan walk-in.
“Pagi goreng, kemudian terus bungkus dan jual kepada pelanggan. Harga kami jual juga lebih murah kerana kami mempunyai kebun pisang sendiri,” katanya – MalaysiaGazette
















