JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang baru selesai menunaikan solat Maghrib terkejut menemukan seorang bayi perempuan di tempat parkir sebuah surau di Taman Universiti di Skudai di sini, kelmarin.
Jemaah masjid tersebut tidak menyangka ‘sesuatu’ yang dilihatnya di tempat parkir tersebut ialah seorang bayi masih hidup, malah bertali pusat.
Pengalaman berkenaan dikongsi oleh adik ipar jemaah berkenaan yang hanya dikenali sebagai Sha menerusi media sosial.
Sha berkata, kejadian berlaku selepas abang iparnya yang berusia 40-an selesai menunaikan solat dan berjalan keluar dari bangunan surau.
“Apabila dia berjalan ke hadapan di tempat letak kereta, dia terkejut melihat bayi yang ditinggalkan itu.
“Bayi berkenaan dalam keadaan tidur, dibalut hanya dengan tuala bewarna hijau manakala tangan dan kakinya tidak bersarung,” katanya.
Dia berkata, abang iparnya dan seorang lagi jemaah menghubungi polis kerana bimbang keselamatan bayi berkenaan yang ditinggalkan begitu sahaja sebelum ambulans tiba membawa bayi berkenaan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, bayi berkenaan diselamatkan dan berada di HSA bagi pemeriksaan kesihatan serta laporan perubatan.
Beliau berkata, bayi berkenaan dijangka ditempatkan di pusat perlindungan selepas menerima kebenaran daripada polis.
“Buat masa ini bayi berkenaan dilaporkan dalam keadaan baik, tiada masalah. Sebaik mendapat kebenaran daripada polis, bayi ini akan di tempatkan di tempat selamat oleh kerajaan negeri Johor,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular video penemuan seorang bayi di sebuah surau di Taman Universiti di sini oleh seorang jemaah selepas mengerjakan solat di situ.
Difahamkan tiada sebarang dokumen ditemukan bersama bayi berkenaan.- MalaysiaGazette
















