GEORGETOWN – Polis mengesahkan punca kematian dua mangsa yang terperangkap dalam kebakaran sebuah pejabat guaman di Lebuh King di sini semalam akibat asfiksia penyedutan asap.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pengesahan itu diperoleh susulan bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mangsa di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini.
“Dua mangsa masing-masing lelaki berusia 88 tahun dan wanita berusia 60 tahun meninggal dunia akibat asfiksia susulan penyedutan asap.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun, punca kebakaran masih disiasat oleh Pasukan Siasatan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) negeri Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN”
Media semalam melaporkan peguam veteran, Datuk G. San Markan, 88, dan kerani firma berkenaan, Chandra Binwani Jiwatram, 60 tahun maut dalam kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, masing-masing mereka dilaporkan mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus.
“Mangsa pertama iaitu Sanmarkan ditemukan atas kerusi berdekatan meja pejabat di tepi tingkap pada 1.05 tengah hari manakala mangsa kedua dijumpai di bawah timbunan fail, di tepi dinding lokasi sama, pada 3.26 petang.
“Kerja-kerja memindah keluar mangsa yang terlibat di lokasi kejadian selesai dijalankan dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.55 petang,” katanya. – MalaysiaGazette
















