KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, anggaran kasar bagi 12,009 unit barang kemas yang disita dari kediaman mewah Pavilion Residences pada 2018, mencecah RM443.3 juta.
Asisten Komisioner Foo Wei Min, 51, berkata, penilaian itu dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman dengan bantuan pakar barang kemas.
Beliau yang ketika itu pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, penilaian tersebut dilakukan di antara 30 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018.
Ujar Wei Min, pada 17 Mei 2018, sepasukan polis dari JSJK Bukit Aman telah membuat pemeriksaan di unit penthouse Pavilion Residences di sini berdasarkan waran geledah.
Polis kemudian merampas harta-harta alih antaranya 35 buah beg mengandungi wang tunai pelbagai dominasi, enam buah beg mengandungi jam tangan pelbagai jenama serta 25 buah beg berisi pelbagai barang kemas.
Ujarnya, turut disita, tiga buah beg mengandungi cermin mata pelbagai jenis dan jenama, sebuah beg berisi dompet pelbagai saiz dan jenama serta 284 kotak mengandungi beg tangan.
Menurut beliau, pendakwa raya kemudian memfailkan permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 56 Akta 613 melalui permohonan jenayah terhadap barang-barang yang disita.
Wei Min memberi keterangan pada perbicaraan kes saman AS$14.57 juta yang difailkan oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkaitan kehilangan lebih 40 barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pegawai kanan polis itu selanjutnya menyatakan, Rosmah ketika memberi keterangan kepada polis menyatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan atau mengarahan sesiapa memindahkan barang-barangnya dari Langgak Duta ke Pavilion.
Ujarnya, dalam rakaman percakapan tersebut juga, Rosmah tidak pernah menyatakan bahawa harta-harta tersebut adalah miliknya.
Kata beliau, Rosmah juga tidak boleh mengecam kesemua harta-harta alih tersebut walaupun ditunjuk dengan gambar yang jelas.
Wei Min selanjutnya menyatakan, pada 26 April 2022, satu arahan telah dikeluarkan oleh Peguam Negara untuk memulangkan 9,554 unit barang kemas kepada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya dan tindakan pemulangan dilaksanakan pada 28 April 2022 hingga keesokannya kepada firma guaman yang mewakilinya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon bersambung esok. – MalaysiaGazette















