KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melantik Datuk Rusli Jaafar sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa 1 April 2026
Agensi itu dalam kenyataanya berkata, pengalaman luas Rusli selama lebih 32 tahun dalam sektor perkhidmatan awam serta kepimpinan yang penuh berwibawa telah membawa kepada pemerkasaan institusi, memacu transformasi organisasi serta memperluas impak pembangunan sosioekonomi.
Memiliki Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rusli memulakan perkhidmatan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), yang sebelum itu dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia pada tahun 1993.
Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merangkumi bidang dasar, operasi, tadbir urus dan hal ehwal antarabangsa, serta menerajui pelbagai inisiatif strategik termasuk pelan pendigitalan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pembangunan dasar koperasi negara.
Pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM sehingga 2025.
“Pelantikan Datuk Rusli mencerminkan komitmen HRD Corp untuk terus memperkukuh mandatnya dalam menerajui pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja dan kelestarian modal insan.
“Ia juga sejajar dengan keutamaan nasional serta keperluan majikan dan tenaga kerja yang sentiasa berkembang,” kata HRD Corp dalam kenyataan, hari ini. -MalaysiaGazette
















