KUALA LUMPUR – Nilai eksport halal negara mencecah RM68.52 billion pada tahun lalu, mencatatkan peningkatan 10.9 peratus tahun ke tahun.
Halal Development Corporation Berhad (HDC) berkata, peningkatan ini mencerminkan permintaan global yang berterusan serta daya tahan industri dalam menghadapi cabaran geopolitik yang semakin berubah.
Menurutnya, eksport halal pada 2025 menyumbang 4.3 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi eksport terus dipacu oleh segmen makanan dan minuman (F&B), yang menyumbang kira-kira 53.8 peratus (RM36.86 bilion) daripada jumlah eksport halal, diikuti bahan halal sebanyak RM21.39 bilion (31.2 peratus).
Eksport minyak sawit dan derivatif bernilai RM4.57 bilion pula mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 55 peratus.
“Komposisi ini menunjukkan kekuatan Malaysia dalam sektor penggunaan halal teras, di samping menonjolkan peluang berterusan untuk mengembangkan segmen bernilai tambah tinggi seperti farmaseutikal dan bahan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
HDC berkata, produk halal Malaysia terus mendapat tempat di pelbagai pasaran termasuk China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia.
Eksport ke China direkodkan sebanyak RM9.00 bilion (13.2 peratus) daripada jumlah eksport halal, diikuti Singapura sebanyak RM7.11 bilion (10.4 peratus).
Amerika Syarikat pula mencatat nilai eksport RM4.46 bilion (6.5 peratus), Jepun RM4.22 bilion (6.2 peratus) dan Indonesia RM3.51 bilion (5.1 peratus).
Jelasnya, pengagihan pasaran yang meluas ini mencerminkan strategi kepelbagaian Malaysia di luar pasaran tradisional, sekali gus mengukuhkan daya tahan terhadap gangguan serantau.
Pada masa yang sama, pelaburan terkumpul dalam taman halal Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan stabil, menandakan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap ekosistem halal negara yang disokong tadbir urus kukuh, kredibiliti pensijilan dan pembangunan industri bersepadu.
“Walaupun industri halal global kekal kukuh, perkembangan geopolitik semasa, khususnya di Asia Barat, boleh memberi cabaran tidak langsung melalui gangguan rantaian bekalan, tekanan kos serta perubahan dinamik perdagangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Interim HDC, Hanisofian Alias.
Katanya, asas eksport Malaysia yang pelbagai memberikan sedikit penampan terhadap kesan luaran.
Namun, persekitaran semasa menuntut ketangkasan lebih tinggi, ketahanan rantaian bekalan yang lebih kukuh serta kepelbagaian pasaran yang dipercepatkan.
Dari sudut industri, dinamika global semasa dijangka mendorong beberapa perubahan struktur membabitkan pengembangan ke pasaran baharu dan bukan tradisional, pengukuhan ekosistem rantaian bekalan serantau, peningkatan penggunaan pendigitalan dan kebolehkesanan dan fokus kepada segmen halal bernilai tinggi.
Tambahnya, melangkah ke hadapan, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang dalam landskap global pasca konflik, termasuk menyokong pemulihan rantaian bekalan halal serta mengukuhkan hubungan perdagangan di rantau terjejas.
Di peringkat domestik, HDC akan terus memberi keutamaan kepada pemerkasaan PKS, kesiapsiagaan eksport dan pengukuhan ekosistem, termasuk melalui platform digital seperti HDC Halal Integrated Platform.
“Dengan asas kukuh syarikat bersijil halal dan pengiktirafan global yang semakin meningkat, Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem halal yang dinamik, sekali gus memperkasa produk, integriti dan kepakaran di peringkat global selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030,” ujar Hanisofian. – MalaysiaGazette















