GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan akaun Facebook palsu bagi memperdaya mangsa dari beberapa negara Asia dalam serbuan di tiga kondominium di sekitar Sungai Nibong di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen negeri itu membawa kepada penahanan 11 suspek.
Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga China, dua lelaki warga Taiwan, dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam, seorang lelaki warga Jepun serta dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 56 tahun.
“Dalam serbuan pertama, kita merampas pelbagai barangan termasuk 11 telefon bimbit, sebuah router WiFi, satu unit iPad, sebuah komputer riba, dua monitor, dua CPU serta peralatan komputer lain.
“Serbuan kedua pula menemukan sebuah telefon bimbit pelbagai jenama serta satu set kunci rumah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Azizee , hasil soal siasat mendapati semua suspek mengaku bekerja sebagai khidmat pelanggan dan menjalankan kegiatan penipuan menggunakan aplikasi Facebook.
“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi sejak awal April lalu dengan menyasarkan mangsa dari China, Jepun, Taiwan dan Vietnam.
“Kesemua 11 suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Azizee menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon atau pesanan ringkas daripada individu tidak dikenali. – MalaysiaGazette















