Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Seramai 107 pelabur mendakwa kerugian mencecah RM59 juta dalam satu skim pelaburan disyaki tidak berlesen yang dikaitkan dengan individu bergelar Datuk.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dua kumpulan pengadu tampil membuat aduan selepas mendakwa wang pelaburan mereka gagal dipulangkan.

“Jumlah keseluruhan mangsa adalah 107 orang dengan kerugian dianggarkan RM59 juta,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut beliau, skim berkenaan dipercayai beroperasi sejak 2018 dan ditawarkan melalui tujuh syarikat berbeza yang dipelopori dalang sama.

“Antara pelaburan yang ditawarkan termasuk projek kedai serbaneka, syarikat penerbangan serta pelbagai model pelaburan saham dan perkongsian,” dedahnya.

Hishamuddin berkata, kebanyakan mangsa mula melabur sekitar 2020 selepas menghadiri sesi pembentangan yang didakwa meyakinkan serta memberi gambaran pelaburan itu sah.

Sebahagian mangsa menggunakan simpanan persaraan, wang keluarga dan pinjaman bank untuk menyertai skim berkenaan.

Beliau turut mendakwa bahawa walaupun individu terbabit pernah dikenakan denda RM50 juta oleh Bank Negara Malaysia pada 2023, kutipan pelaburan masih diteruskan selepas itu.

Sehubungan itu, MHO menggesa siasatan baharu dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan, Seksyen 403 (menyeleweng dana) dan Seksyen 409 (pecah amanah).

“Mangsa mahukan tindakan lebih tegas termasuk pendakwaan terhadap individu bergelar Datuk itu kerana denda sahaja tidak memadai,” katanya.

MHO juga merancang menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara dan tidak menolak membawa kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagi mangsa, ini bukan sekadar isu kewangan tetapi soal keadilan selepas kehilangan simpanan seumur hidup,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast