MUAR – Sebuah lagi kapal Malaysia yang membawa sejuta tong minyak mentah yang berjaya melalui Selat Hormuz dijangka tiba hujung minggu ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, ketibaan kapal berkenaan dijangka mampu memperkukuhkan jaminan bekalan minyak mentah negara.
Jelas beliau, ketibaan kapal itu menyusuli kapal pertama yang tiba 17 April lalu.
“Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di beberapa fasiliti refinery (loji penapisan) dalam negara kita yang memungkinkan bekalan terutama bagi Petronas lengkap sehingga hujung bulan Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) dan diesel di dua stesen minyak di Pagoh, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Selain itu, Fahmi mengambil maklum permohonan beberapa pihak yang mahu kuota subsidi BUDI95 dikembalikan dan mengulangi jaminan kerajaan bahawa pelarasan kuota kepada 200 liter sebulan itu hanya bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak negara stabil.
Jelasnya, perkara berkaitan bekalan bahan api negara juga dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bekalan minyak di 639 stesen minyak di seluruh Johor berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gangguan atau kehabisan stok setakat ini.
Mengulas lawatan kerja dua hari ke Johor, Fahmi menyaksikan beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menambah baik liputan internet di sepanjang 1,700 kilometer jajaran landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Selain itu, beliau turut melancarkan Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir di Pagoh di sini dalam usaha memperkasakan belia menghadapi ancaman dunia digital.- MalaysiaGazette
















