Jemaah haji dibawa melawat ke Bukit Uhud, Madinah. Foto Tabung Haji

MADINAH – Ziarah Madinah yang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Madinah bertujuan memberi peluang kepada para jemaah haji menziarahi tempat-tempat bersejarah serta memberi penghormatan kepada Rasulullah SAW.

Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah TH, Mohamad Zahir Hussin berkata, lawatan ini diharap dapat meningkatkan pemahaman terhadap sirah Nabi Muhammad SAW serta sejarah perkembangan Islam.

Mohamad Zahir Hussin

Semasa ziarah, para jemaah dibawa ke Masjid Nabawi termasuk ke kawasan perkuburan Baqi.

Malah para jemaah turut dibimbing untuk memasuki Rawdah.

Bagi ziarah luar pula, jemaah haji akan dibawa melawat tempat bersejarah termasuk Masjid Quba dan Jabal Uhud.

“Madinah bukan hanya persinggahan sebelum ke Makkah tetapi di sini adalah kota penuh bersejarah yang menyimpan perjuangan Rasulullah bersama para sahabat.

“Jadi ini adalah peluang besar untuk jemaah menghayati sejarah perjuangan Islam, memperbanyak doa, munajat dan memohon kesejahteraan untuk diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui semasa program ziarah dalam anjuran TH di Madinah hari ini.

Lawatan jemaah haji di Masjid Quba, Madinah.

Jelasnya, Masjid Quba dalam sejarah Islam adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW sebaik sahaja baginda tiba di Madinah selepas berhijrah dari Mekah.

Ganjaran bersolat di sini seperti menunaikan satu kali umrah.

Sementara lawatan di Bukit Uhud pula merupakan sebuah bukit yang penuh dengan berkah kerana banyak disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW serta menjadi saksi berlakunya Peperangan Uhud.

Jemaah haji berjalan di sekitar Kota Madinah. foto Tabung Haji

Lawatan di sini, katanya, dapat mengingatkan jemaah haji tentang ibrah dan penghayatan pengorbanan dan perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah yang syahid.

Para jemaah juga diberi kesempatan melawat ke ladang kurma, yang mana Madinah merupakan pengeluar terbaik.

“Dengan lawatan ini, para jemaah dapat melihat lebih dekat peranan Madinah sebagai bandar Islam pertama,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta jemaah haji Malaysia menghargai peluang berada di Madinah untuk memanfaatkan ziarah ini, selain beribadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast