KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil tindakan segera menghentikan siaran siri animasi bertajuk Cleopatra in Space yang didakwa mengandungi unsur berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas menerima beberapa pandangan dan aduan daripada penonton.
Stesen televisyem awam itu dalam satu kenyataan memaklumkan, siri berkenaan telah disiarkan di TV2 pada 18 dan 19 April lalu (Sabtu dan Ahad), pukul 9 pagi sebelum keputusan menghentikan siaran dibuat.
Menurut RTM, susulan aduan yang diterima, tindakan tegas telah diambil dengan menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi tersebut selain menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh.
“RTM sentiasa komited dan berpegang teguh kepada prinsip untuk menyediakan kandungan program yang berkualiti, selamat, dan mematuhi sensitiviti masyarakat, agama, serta norma budaya tempatan,” jelas kenyataan itu lagi.
RTM turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang tampil memberikan maklum balas dan menyifatkan pandangan tersebut sebagai penting demi memastikan mutu siaran sentiasa berada pada tahap terbaik.
Untuk rekod, RTM turut menggantung siaran kartun Santiago of the Seas susulan aduan mengenai unsur LGBT secara tidak langsung dalam rancangan animasi tersebut. – MalaysiaGazette
Lagi kartun didakwa berunsur LGBT, DUPP persoal tahap tapisan
















