Majid berbaju putih memanggil para pelanggan untuk merasai kurma-kurma yang dijual di kedainya di Madinah.

MADINAH – Tidak lengkap rasanya ziarah ke Kota Madinah tanpa bawa balik kurma sebagai buah tangan kerana ladang kurma di sini adalah terbaik di dunia.

Jika anda ke Madinah, banyak kedai-kedai menjual buah kurma.

Walaupun begitu, kedai kurma Majid Al Zuhairi Farm, yang terletak berdekatan dengan Masjid Al-Quba masih menjadi pilihan para pelancong terutama jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Di sini, pengunjung boleh rambang mata kerana buah kurma yang dijual ‘gemuk-gemuk’ saiznya.

Menariknya, buah kurma di sini kelihatan segar, tidak kering seperti yang dijual di Malaysia.

Kurma-kurma di kedai ini diletakkan di kaunter khas dan di situ pengunjung boleh merasai kurma yang menjadi pilihan.

Wartawan MalaysiaGazette yang mengikuti ziarah luar Madinah bersama jemaah haji yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji juga teruja apabila memasuki kedai tersebut.

Keterujaan itu bukan sekadar kepelbagaian buah kurma yang dijual dengan berbagai warna dan saiz, tetapi pendekatan pemiliknya yang bernama Majid menyantuni pelanggan.

Sebaik sahaja rombongan Petugas Media Tabung Haji melangkah masuk di pintu kedai, terdengar teriakan Majid yang berada dalam kaunter kurma.

“Mari, mari dekat haji, hajah Malaysia. Kalau orang Malaysia beli harga kurma saya jual lagi murah. Mari rasa satu, saya halalkan, rasa kali kedua kena beli” katanya berseloroh dengan berbahasa Melayu ala Arab.

Tanpa pembesar suara, suara Malik cukup kuat memanggil para jemaah yang dibawa ke kedai ini untuk merasai buah kurma yang dijual.

Sepanjang kaunter itu tidak kurang ada 30 jenis kurma yang dijual secara timbang.

Harga kurma? Meskipun setiap jenis kurma diletakkan penanda harga tetapi itu bukan harga akhir.

Sebaliknya, berat harga kurma yang dibeli bergantung kepada kebijaksanaan pembeli membuat tawar-menawar.

“Kurma sini murah-murah, beli banyak lagi murah, janganlah beli sikit, belilah semua.

“Rasalah semua satu-satu. Nak rasa percuma,” tambah beliau kepada pelanggan-pelanggan yang membanjiri kedainya.

Itulah Majid, seorang penjual yang kelihatan pemurah kerana beliau tidak kisah andainya setiap pelanggan merasai sendiri kurma-kurma yang dijual secara percuma.

Di Majid Al Zuhairi Farm terdapat lebih 30 jenis kurma yang dijual dan sudah tentunya kurma ajwa yang dijadikan pelaris.

“Ajwa kecil, ajwa besar. Ajwa kering dan segar pun ada. Nak berapa kilo, kalau berat kami boleh poskan,” teriak Majid lagi.

Ini kerana, Felda Transport menjadi rakan niaga Majid Al Zuhairi Farm terutama pada musim haji.

Selain kurma, kedai ini turut menjual pelbagai jenis kekacang, kudapan dan manisan.

Pekerja Majid akui keramahan luar biasa Majid ketika menyantuni para pelanggannya yang datang dari pelosok dunia.

Menurut pekerjanya yang berasal dari Indonesia, apabila melihat pelanggan berkunjung ke kedai, Majid pasti akan membuka bungkusan coklat yang baru untuk menjamu mereka.

“Itu cara Majid meraikan pelanggannya. Dia tidak kedekut langsung,” kata pekerja lelaki ini.

Usaha wartawan MalaysiaGazette untuk mewawancara ‘tauke kurma’ ini bagaimanapun sukar.

Majid menolak dengan sopan untuk diwawancara kerana katanya dia pemalu.

Ketika rombongan yang membawa Petugas Media Haji Tabung Haji melangkah keluar dari kedai, kelihatan seorang jemaah Malaysia yang sugul bersama isterinya di luar kedai.

Katanya, pelbagai kurma, kekacang dan makanan lain yang telah dibeli hilang – mungkin tersilap ambil oleh orang lain.

Majid yang dimaklumkan dengan kejadian itu tanpa berlengah terus menggantikan barang yang hilang itu.

Kata pekerjanya, Majid mahu semua pelanggan keluar dari kedai dengan gembira. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast