Foto: US Command Central/X

ISTANBUL – Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan 31 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan sebagai sebahagian daripada sekatan laut Washington terhadap pelabuhan Iran, kata Komando Pusat AS (CENTCOM) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Angka berkenaan menandakan peningkatan daripada 29 kapal yang dilaporkan sebelum ini pada Rabu dan susulan pemintasan kapal kargo berbendera Iran TOUSKA pada Ahad di Laut Arab utara, yang ditahan oleh USS Spruance selepas anak kapalnya enggan mematuhi amaran selama enam jam.

Sekatan itu dilancarkan pada 13 April berikutan beberapa minggu gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz.

CENTCOM turut menafikan laporan media yang mendakwa beberapa kapal komersial telah berjaya mengelak sekatan tentera lautnya di pelabuhan Iran, menyebutnya sebagai tidak tepat.

Laporan mendakwa bahawa kapal M/V Hero II, M/V Hedy dan M/V Dorena telah berjaya melepasi sekatan dan memindahkan jutaan tong minyak.

CENTCOM menolak butiran itu berkata Hero II dan Hedy sebenarnya berlabuh di Chabahar, Iran, selepas dipintas oleh tentera AS awal minggu ini.

Sementara itu, Dorena kekal di bawah kawalan Tentera Laut AS di Lautan Hindi berikutan percubaan sebelum ini untuk melanggar sekatan, katanya.

Iran tidak segera memberi respons terhadap penerangan AS tentang peristiwa itu.

Penghantaran melalui Selat Hormuz terjejas teruk sejak perang AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, menggegarkan pasaran tenaga global dan menimbulkan kebimbangan terhad impak ekonomi yang berpanjangan.

Gencatan senjata dengan Pakistan sebagai pengantara sedang dilaksanakan, dan lebih banyak rundingan untuk menamatkan konflik secara kekal dijangka diadakan tidak lama lagi. – BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast