Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menyerahkan memorandum kepada wakil ADUN Seri Kembangan berkaitan isu penternakan babi ketika di Pejabat ADUN Seri Kembangan, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 APRIL 2026.

SERI KEMBANGAN – Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhenti daripada membangkitkan berkenaan isu penternakan babi.

Menurutnya, perkara itu disifatkan tidak wajar ketika rakyat masih berdepan pelbagai tekanan yang lebih besar termasuk masalah banjir dan kos sara hidup.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berucap selepas menyerahkan memorandum kepada wakil ADUN Seri Kembangan berkaitan isu penternakan babi ketika di Pejabat ADUN Seri Kembangan, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 APRIL 2026.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha menyelesaikan isu banjir yang berlarutan serta kesannya terhadap kehidupan penduduk, termasuk kerugian harta benda dan gangguan kepada aktiviti ekonomi.

“Ini bukan soal kita membenci dan menghalang mana-mana kaum, tetapi ini soal keutamaan dasar dan kebijaksanaan pentadbiran yang mesti dimiliki oleh wakil rakyat dalam menimbulkan sesuatu isu.

“Amat malang suatu perbahasan yang sepatutnya menjunjung kasih terhadap titah Tuanku Sultan tetapi ditimbulkan perkara yang telah dinoktahkan oleh Tuanku Sultan iaitu isu ladang babi.

Sebahagian dari pemuda, NGO serta penyokong hadir bagi membantah isu penternakan babi yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki ketika di Pejabat ADUN Seri Kembangan, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 APRIL 2026.

“Saya yakin dan percaya apa yang ditimbulkan oleh Tuanku Sultan Selangor itu adalah manifestasi daripada keluhan rakyat.

“Begitu juga Tuanku Sultan Selangor mengutarakan isu banjir yang masih tidak selesai di Selangor.

“Sepatutnya menjadi keutamaan bagi wakil rakyat untuk melihat pembaikan-pembaikan kepada sistem yang mesti diberikan keutamaan.

“Dalam masa yang sama kita tidak pernah menghalang mereka yang bukan Islam sama ada mereka hendak makan babi dan sebagainya itu terpulang.

“Tetapi bantahan kita ini adalah kerana ADUN Seri Kembangan menimbulkan kembali polemik yang telah selesai dan sudah dinoktahkan oleh Tuanku Sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum bantahan di Pejabat ADUN Seri Kembangan, di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan cadangan pembangunan ladang babi moden di lokasi yang disifatkan tidak sesuai, termasuk berhampiran sumber air dan kawasan majoriti penduduk Islam.

Sebahagian dari pemuda, NGO serta penyokong hadir bagi membantah isu penternakan babi yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki ketika di Pejabat ADUN Seri Kembangan, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 APRIL 2026.“Hormat sensitiviti masyarakat dan yang paling penting berikan keutamaan kepada kebajikan rakyat. Jangan wakil rakyat letakkan kepentingan pribadi, kepentingan politik sempit mengatasi kepentingan utama rakyat.

“Kami datang hanya menyampaikan memorandum sebagai permulaan sekiranya ia tidak diberikan perhatian, kami yakin lebih banyak bantahan besar akan berlaku,” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan, ADUN Seri Kembangan itu sebelum ini mencadangkan agar penternakan babi dipertimbang semula, termasuk menggunakan teknologi moden (closed system, zero discharge, biogas). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast