Dr Zaliha Mustafa.

JOHOR BAHRU – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh reformasi institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti badan penguatkuasaan negara itu.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan pemilihan tokoh yang berlatarbelakangkan kehakiman itu memberikan isyarat jelas bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan kebebasan badan pencegahan rasuah berkenaan.

“Ini secara langsung akan menangkis sebarang persepsi campur tangan politik, sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap pelantikan itu dapat mempercepat pencapaian sasaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata momentum positif pencapaian Malaysia yang meningkat ke kedudukan ke-54 dunia dengan skor 52 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 membuktikan keberkesanan inisiatif tadbir urus yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam Baki atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui SPRM sebelum ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim itu berkuat kuasa 13 Mei ini. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast