KUALA LUMPUR – Komitmen kerajaan hari ini adalah untuk mengemudi Malaysia keluar daripada kepompong ekonomi kos rendah kepada model ekonomi berasaskan produktiviti tinggi bagi mendepani ketidaktentuan global yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam landskap ekonomi baharu yang tidak menentu, pemain industri tidak boleh lagi sekadar bertahan sebaliknya perlu berani melakukan anjakan paradigma melalui automasi dan pendigitalan.
Menurutnya, syarikat yang bakal mendominasi masa hadapan bukanlah syarikat yang paling besar, tetapi yang paling efisien, tangkas dan mampu mengatasi tekanan kos melalui inovasi.
“Kita tidak boleh selama-lamanya melawan kos yang meningkat.
“Jalan penyelesaiannya adalah kita mesti mengatasi kos tersebut dengan produktiviti.
“Dalam dunia hari ini, cara lama tidak akan mampu memenangi peperangan baharu, kita mesti bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya pada sesi ucaptama Jamuan Apresiasi Kerajaan – Komuniti Perniagaan bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan jentera kerajaan mengenai kecekapan penyampaian adalah kunci utama keyakinan pelabur.
“Kerajaan komited memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan mempercepatkan proses kelulusan dan mengurangkan kerenah birokrasi yang membebankan.
”Hakikatnya, time is cost. Setiap kelewatan dalam kelulusan dan setiap lapisan birokrasi yang tidak perlu akhirnya akan memberi kesan kepada daya saing perniagaan.
”Pelabur tidak pergi ke tempat yang menawarkan insentif paling tinggi semata-mata tetapi mereka akan pergi ke mana keyakinan itu paling kuat,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menyeru komuniti perniagaan dan kerajaan untuk terus bergerak sebagai satu Ekosistem Nasional yang saling melengkapi demi memastikan Malaysia terus makmur dan berdaya saing di pentas dunia.
“Dunia telah mengajar kita satu perkara yang sangat jelas iaitu kebergantungan yang terlalu tertumpu adalah satu risiko.
“Gangguan di satu laluan boleh menjejaskan keseluruhan sistem. Jadi, kita mesti mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh jaringan serantau, menggunakan data untuk amaran awal dan membina sistem yang lebih anjal,” tambahnya.
Tambah beliau lagi, dalam dunia yang tidak menentu, tanggungjawab bukan hanya pada kerajaan tetapi adalah agenda bersama.
“Saya sedar, di hadapan saya hari ini, setiap syarikat mempunyai strategi dan haluan perniagaan tersendiri. Namun, jika kita ingin berkembang sebagai sebuah negara, we cannot afford to operate in isolation,” katanya. -MalaysiaGazette
















