Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Ini bermakna Najib kekal menjalani baki hukuman enam tahun di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam perkembangan sama, Najib juga tidak berhasrat meneruskan rayuan untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan titah adendum.

Permohonan untuk menarik balik rayuan terhadap semakan kehakiman (Titah Adendum), dimaklumkan kepada Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menerusi notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh sehari sebelumnya.

Firma guaman itu memaklumkan bahawa Najib tidak berhasrat  meneruskan rayuan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula, perintah berkaitan kos juga tidak dipohon.

Tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.

Sehubungan itu, pada 14 April lalu, timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa notis pemberhentian peguam adalah teratur dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najib.

Dalam pada itu, menerusi surat berlainan bertarikh 9 April lalu,  Mahkamah Rayuan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi  bahawa Najib turut menarik balik rayuan berkaitan Ahmad Terrirudin menerusi notis yang difailkan firma guamannya pada 31 Mac lalu.

“Rayuan tersebut (Ahmad Terrirudin) telah dibatalkan daripada senarai rayuan sivil di bawah kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” demikian ujar surat itu.

Pada 4 September 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

Pada 22 Disember 2025, hakim sama menolak semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan dan enam yang lain melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Mahkamah berpuas hati, isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Titah Adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO menjalani baki hukuman terbabit si bawah tahanan rumah.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib dengan itu memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast