Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika menghadiri Persidangan Hak Wanita 2026 hari ini.

KUALA LUMPUR –  Wanita perlu diberikan kebebasan menjadi diri sendiri, memilih haluan hidup dan memperjuangkan prinsip masing-masing.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ia salah satu cara memartabatkan dan memperkasakan wanita sekali gus dapat memberi keyakinan kepada golongan itu. 

Jelasnya, usaha pemerkasaan wanita antara kunci membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, ia turut membuka peluang melibatkan golongan itu untuk menyertai barisan kepimpinan.

“Kuasa bukan sesuatu yang dimiliki, tetapi sesuatu yang dicipta, dikongsi dan digandakan.

“Apabila wanita memimpin, memperjuangkan, mengadili dan berinovasi, ia mengukuhkan keseluruhan sistem,” katanya ketika berucap pada Persidangan Hak Wanita 2026.

Turut hadir, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Wan Ahmad Farid berkata, kesilapan sebahagian masyarakat dan ibu bapa tidak memberi kebebasan untuk golongan wanita memilih jalan hidup sendiri atas alasan mahu membimbing mereka. 

“Kesilapan terbesar ibu bapa atau masyarakat terhadap wanita muda adalah menentukan kehidupan mereka dan menamakannya sebagai bimbingan,” tambah beliau.

Tambahnya, tema persidangan kali ini iaitu “Together We Create PowHer” mencerminkan komitmen berterusan dalam mentakrifkan semula kejayaan wanita melangkaui kerangka tradisional, di samping memperkukuh kepimpinan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Farid berkata, badan kehakiman yang sering dianggap sebagai benteng terakhir keadilan menyaksikan wanita menduduki jawatan tertinggi institusi tersebut.

Antaranya, ujar beliau, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Maimun; bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Tan Sri Siti Norma Yaakob.

“Ini bukan sekadar pelantikan. Ia membuktikan bahawa apabila diberi amanah, wanita memimpin dengan kekuatan, kebebasan dan keteguhan yang tidak berbelah bahagi,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast