KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) Perlis, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keluar daripada parti itu.
Serentak itu, beliau turut mengumumkan melepaskan semua jawatan yang disandang termasuk Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah dan Ketua Pemuda Amanah Kawasan Kangar.
Menurutnya, keputusan itu diambil setelah melalui proses pertimbangan yang panjang, teliti dan mendalam khususnya terhadap peranan beliau sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan yang ingin dibawa.
Ujarnya, sepanjang tempoh bersama Amanah, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Namun demikian, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui.
“Sebagai seorang pemimpin muda, saya percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal keberanian untuk kekal berpegang kepada prinsip, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada semua jawatan serta keahlian parti bagi memberi ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda mereka, di samping membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr. Ahmad Fadhzil, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang perjalanan ini.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang saya memegang amanah yang diberikan.
“Akhir kalam, saya mendoakan agar Parti Amanah Negara terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya. – MalaysiaGazette















